KOTA KINABALU, SABAH – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang baru dilancarkan genap seminggu lalu belum lagi mengedarkan borang permohonan keahlian secara meluas kepada orang ramai.
“Borang hanya boleh didapati melalui Ahli Majlis Tertinggi dan ketua bahagian penaja tertentu sahaja,” kata Ketua Penerangan parti berkenaan Dr. Oswald Aisat Igau.
Beliau menjelaskan bahawa sehingga ke hari ini, ibu pejabat belum menerima mana-mana borang permohonan keahlian dari bahagian penaja atau mana-mana pihak.
Dalam satu kenyataan hari ini, Oswald menafikan dakwaan sekumpulan penyokong Warisan bahagian Pensiangan, diketuai oleh Armstrong Onolon, yang tular di media sosial semalam di mana beliau telah membuat pengakuan keluar dari parti KDM.
Oswald menafikan kenyataan itu kerana belum ada borang keahlian pun dikeluarkan terutamanya kepada Warisan.
“Pihak ibu pejabat juga masih dalam proses melantik secara rasmi AJK yang mengedar dan memproses permohonan keahlian di seluruh Wilayah Sabah…
“Bagaimana mungkin mereka sudah menjadi ahli parti?
“Bagaimana kumpulan penyokong Warisan ini membuat kenyataan media mengakui sebagai ahli parti KDM dan keluar parti seterusnya kembali ke parti Warisan?
“Ini adalah permainan taktik kotor dan jijik oleh pemimpin tempatan parti Warisan” katanya.
Menurut beliau, parti KDM telah mengarahkan pihak peguam untuk merujuk mana-mana peruntukan undang-undang untuk diambil tindakan yang sewajarnya.
“Saudara Armstrong dan kumpulannya hendaklah membuktikan secara jelas dengan sokongan dokumentasi bahawa beliau pernah menjadi ahli Parti KDM yang sah dalam tempoh empat belas (14) hari daripada tarikh beliau mengeluarkan kenyataan tersebut…
“Sekiranya beliau gagal atau sengaja tidak mengendahkan untuk membuktikan perkara itu dalam masa yang ditetapkan, maka kepimpinan parti KDM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan kumpulannya kerana perbuatan itu telah mencemarkan nama baik dan reputasi parti KDM.
“Pihak parti KDM juga memohon agar individu tersebut dan kumpulannya mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dalam masa empat belas (14) hari dari tarikh kenyataan tersebut dikeluarkan atau berhadapan dengan tindakan mahkamah,” tegasnya.
Tambah Oswald lagi, sebagai parti baru, KDM melihat perkara itu sebagai percubaan “membuli” dengan niat jahat oleh pemimpin parti Warisan yang cuba bermain politik dengan cara tidak bermaruah.
“Mungkinkah ini adalah taktik baru yang dipelajari dari PRN Johor dan cuba diaplikasikan di Sabah?
“Rakyat Sabah harus bangkit menolak mana-mana parti politik yang mengamalkan taktik politik yang tidak bermaruah…
“Rakyat di Wilayah Sabah dahagakan pembelaan yang tulus, ikhlas dan progresif demi mencapai kesejahteraan, kemakmuran dan keamanan untuk maju membangun kehadapan demi masa depan generasi baru yang sentosa serta meyakinkan,” katanya.
Katanya parti KDM, amat teliti mengenai penerimaan keahlian baru, terutama latar belakang pemohon.
“Kami inginkan ahli yang mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah dipengaruhi oleh faktor kewangan, dalam erti kata lain, parti KDM pentingkan kualiti dan bukan kuantiti,” ujarnya lagi.





