KOTA KINABALU: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan keberanian ibu kepada arwah Zara Qairina sebagai simbol tuntutan keadilan dan keselamatan yang lebih luas untuk rakyat Sabah.
Beliau berkata, pertemuannya dengan wanita itu tiga minggu lalu meninggalkan kesan mendalam, mengingatkan semua pihak bahawa isu keselamatan tidak hanya melibatkan sekolah, malah juga tempat kerja.
“Suara beliau adalah suara Sabah. Ia menuntut keadilan dan persekitaran yang selamat, dan kita mesti pastikan perkara ini ditangani dengan penuh empati dan penyelesaian yang membina,” katanya selepas merasmikan Bilik Gerakan Utama PKR Bahagian Api-Api di Luyang, pada Ahad.
Nurul Izzah menegaskan perjuangan ibu Zara membuktikan bahawa tanggungjawab pemimpin bukan sahaja politik, tetapi juga kemanusiaan, demi kesejahteraan dan keselamatan anak-anak.






