Kekalkan Kestabilan Kerajaan Negeri – Jamain

Kekalkan Kestabilan Kerajaan Negeri – Jamain

0
SHARE
Jamain
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jamain Sarudin

KOTA KINABALU, SABAH – Kestabilan kerajaan negeri Sabah perlu dikekalkan sehingga penggal ke-16 Sabah tamat bagi memberi peluang pada kerajaan merealisasikan visi Sabah Maju Jaya (SMJ) menjelang tahun 2025.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri
Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Jamain Sarudin berkata kemelut politik telah reda apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyusun semula pentadbiran negeri termasuk merombak kabinet pada 11 Januari lepas.

“Masa ini bukan masa berpolitik, akan tetapi masa bekerja untuk menunaikan janji-janji Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

“Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor berada pada landasan betul, seperti mana dibuktikan menerusi kutipan hasil negeri pada Tahun 2022 yang berjumlah RM6.97 bilion.

“Era kepemimpinan negeri masa ini, bukan sahaja memastikan isu-isu tertangguh dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan, akan tetapi juga merealisasikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini .

Menurutnya, salah satu pencapaian kerajaan hari ini, apabila Geran Khas Persekutuan meningkat berkali ganda, yang mana untuk Tahun 2023 berjumlah RM260 juta.

“Dijangka ia akan terus meningkat menjelang tahun 2026, apabila formula pengiraan dimuktamadkan.

“Ada lah dicadangkan, mana-mana pihak, untuk memberi kepercayaan pada kepemimpinan negeri untuk terus mengurus negeri tanpa gangguan atau campur tangan,” katanya.