Penyelidikan Jadi Elemen Penting Pembangunan Pendidikan Negara

Penyelidikan Jadi Elemen Penting Pembangunan Pendidikan Negara

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey (kanan) bersama dengan Gertrude (tengah) dan Rosli (kiri) selepas selesai menyempurnakan gimik perasmian pelancaran buku-buku Terbitan IPG Kampus Gaya ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Penyelidikan menjadi elemen penting dalam agenda pembangunan pendidikan negara.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kepentingan penyelidikan dalam pendidikan telah digariskan dengan jelas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Penyelidikan pada hari ini telah menjadi penanda aras baharu global dan sudah pasti menuntut kepada keupayaan penemuan dan penciptaan yang bukan sahaja bersifat baharu, unik dan bermanfaat tetapi juga mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada kesejahteraan dalam pendidikan negara.

“Guru dan pemimpin sekolah telah menjelaskan bahawa salah satu usaha untuk menambah baik kualiti pensyarah antaranya dengan meningkatkan kepakaran dalam bidang-bidang pengkhususan tertentu dan mengagihkan masa bagi pengajaran, penyelidikan dan penerbitan bahan.

“Oleh itu, jelaslah penyelidikan merupakan elemen penting dalam agenda pembangunan pendidikan negara kerana dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing untuk menjadi sebuah negara maju dalam pendidikan inklusif,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Seminar Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan Zon Sabah Tahun 2023 yang diadakan di Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Gaya, pada Jumaat.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata tema seminar iaitu Budaya Penyelidikan Memperkasakan Pendidikan amat signifikan dengan usaha untuk mentransformasikan pendidikan melalui penyelidikan.

“Tema ini diharap dapat memberi aspirasi kepada warga pendidik agar menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam pembudayaan penyelidikan pendidikan organisasi yang cemerlang.

“Hal ini kerana, hasil kerja yang kreatif dan inovatif bukan sahaja dapat dinikmati oleh organisasi tersebut malahan dapat dimanfaatkan untuk kepentingan perkhidmatan pendidikan amnya,” tambahnya.

Pada majlis berkenaan, turut diadakan pelancaran enam buah buku terbitan IPG Kampus Gaya yang bertajuk ‘A Legacy Of Leaders’, ‘Garis Panduan Keselamatan’, ‘Gaya 60 Tahun Berkilauan Bak Permata’, ‘Koubasanan Pogun Tokou’, ‘Legasi Kecemerlangan Gaya’ dan ‘Patriot Pendidikan Sabah’.

Hadir sama, Rektor IPG Malaysia, Dr Rosli Yacob, Pengarah IPG Kampus Gaya, Gertrude Jock dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Kassim Ali Ahmad. — JABATAN PENERANGAN SABAH