PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini menegaskan bahawa rayuan yang difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 13 November lalu tidak melibatkan isu Pemberian Khas Sabah berdasarkan kadar 40 peratus hasil, sebaliknya hanya membabitkan beberapa bahagian tertentu dalam alasan penghakiman mahkamah.
Dalam kenyataan rasminya hari ini, AGC menjelaskan bahawa rayuan tersebut difailkan bagi menangani beberapa kekhilafan yang dikenal pasti dalam Alasan Penghakiman yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, termasuk dapatan yang menyebut Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri didakwa menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan Perlembagaan.
AGC menegaskan sekali lagi bahawa Kerajaan Persekutuan kekal tidak merayu keputusan berkaitan hak 40 peratus Sabah selaras dengan pendirian Jemaah Menteri dan komitmen yang telah diumumkan sebelum ini. Dengan itu, pengiktirafan terhadap hak tersebut kekal utuh tanpa sebarang gangguan melalui proses rayuan.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Kerajaan Persekutuan akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah “secepat mungkin” bagi memenuhi kewajipan dan pelaksanaan penentuan amaun Pemberian Khas Sabah seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, mengesahkan bahawa perbincangan pertama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bagi menentukan kadar sebenar hak 40 peratus negeri itu akan berlangsung pada Isnin minggu depan.
Dalam perkembangan sama, Jemaah Menteri turut memutuskan agar rundingan dengan Kerajaan Sabah dimulakan serta-merta di peringkat pegawai, memandangkan Sabah kini berada dalam tempoh kerajaan penjaga (caretaker).
Delegasi Persekutuan akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, manakala pasukan Sabah dipimpin oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong.
“Mesyuarat pertama ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi dan memastikan hak Sabah di bawah perlembagaan dihormati sepenuhnya,” kata Armizan pada sidang media di Parlimen hari ini.






