
KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini tampil membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal Alian atas tuduhan kononnya Kerajaan Pusat telah menyerahkan Blok Ambalat di Laut Sulawesi kepada Indonesia.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata tujuan pihaknya membuat laporan terbabit adalah bagi membersihkan nama kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan daripada fitnah terbabit.
Katanya, fitnah yang dibuat Assafal disifatkan pihaknya berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.
Disamping itu, Zulkarnain turut berkata laporan polis terbabit juga akan dihantar pihaknya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
“Walaupun setiap ADUN kebal dari sudut undang-undang kerana mengeluarkan kenyataan di dalam DUN Sabah namun laporan polis ini akan dihantar kepada Speaker DUN Sabah.
“Ini agar tindakan undang-undang dapat diambil selepas ADUN Tungku itu memfitnah dan berbohong di dalam DUN Sabah.
“G57 juga akan terus berikrar setiap fitnah yang dibuat oleh pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) ke atas kerajaan negeri Sabah termasuk Persekutuan, tindakan laporan polis akan menyusul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, susulan dakwaan Assaffal berhubung isu Ambalat, Wisma Putra tampil menyatakan ia merupakan dakwaan yang tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat .
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin kelmarin secara jelas menyebut perjanjian ditandatangani Malaysia dan Indonesia, hanya membabitkan laut wilayah dan ia tidak membabitkan kawasan dinyatakan sebagai Ambalat atau melebihi 200 batu nautika yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).