KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan berjaya menjimatkan kira-kira RM800 juta sejak pelaksanaan program Budi Madani RON95 (Budi95) bermula pada 30 September lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata penjimatan itu hasil daripada pelaksanaan subsidi bahan api secara bersasar, memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati subsidi RON95.
Menurut beliau, pendekatan tersebut berjaya mengekang ketirisan yang sebelum ini memberi manfaat kepada lebih 3.5 juta warga asing, selain membanteras aktiviti penyeludupan bahan api yang melibatkan puluhan ribu liter.
“Setiap ringgit yang dijimatkan disalurkan semula kepada rakyat melalui inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, selain penambahbaikan klinik dan hospital, menaik taraf jalan raya serta memperkukuh infrastruktur,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Anwar berkata pelaksanaan subsidi bahan api secara bersasar telah dibahaskan selama lebih 20 tahun oleh kerajaan-kerajaan terdahulu, namun tiada yang berani melaksanakannya sehingga kerajaan Madani mengambil langkah berani memperkenalkan Budi95.
Di bawah program Budi95, semua pemegang MyKad berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak membeli petrol RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter, berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.
Sejak dilancarkan, seramai 16.55 juta rakyat Malaysia telah diluluskan untuk menikmati subsidi RON95 melalui Budi95.
Penggunaan purata penerima persendirian direkodkan pada kadar 98.2 liter sebulan pada Oktober, jauh lebih rendah daripada kuota maksimum 300 liter sebulan.
Hanya 0.7 peratus daripada keseluruhan penerima menggunakan sepenuhnya kuota bulanan mereka sebelum akhir bulan.
Sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan, kerajaan Madani akan terus memperhalusi skim Budi95, termasuk menilai semula kuota bahan api bagi pemandu e-hailing bagi memastikan keadilan dan keterangkuman.
Bagi pemandu e-hailing sepenuh masa, had bulanan telah digandakan kepada 600 liter bermula 13 Oktober, memberi manfaat kepada hampir 58,000 pemandu.
Sehingga 31 Oktober, seramai 13.1 juta rakyat Malaysia telah menggunakan Budi95 dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM2.66 bilion, sambil menikmati penjimatan keseluruhan sekitar RM800 juta hanya dalam bulan pertama pelaksanaan program itu.






