Ong Kim Swee Mahu Sabah FC Kekalkan Rentak Permainan

Ong Kim Swee Mahu Sabah FC Kekalkan Rentak Permainan

0
SHARE
Datuk Ong Kim Swee...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee ingin prestasi dan strategi permainan anak muridnya kekal seperti perlawanan pasukannya menentang Sri Pahang FC yang telah meraih kemenangan 2 -1 pada malam Sabtu.

Beliau berkata, semua pemain Sabah beraksi cemerlang dengan corak permainan bertenaga dan berupaya mendominasi perlawanan pada separuh masa pertama, namun kehilangan rentak pada babak kedua.

“Kita bermain begitu baik pada separuh masa pertama tetapi pada separuh masa kedua kita hilang rentak dan ambil mudah…

“Ini perlu menjadi satu pengajaran bahawa apabila kita mendahului (perlawanan) kita tidak boleh selesa.

“Situasi (kehilangan rentak) hampir menghukum kita apabila pasukan Sri Pahang berjaya mendapat satu gol dan memberi tekanan tetapi kita bernasib baik dapat mengekalkan bahagian pertahanan selepas itu,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Likas, gol Sabah diperoleh menerusi Neto Pessoa dan Taiki Kagayama masing-masing pada minit ke-10 dan 18 manakala gol pelawat pada minit ke-60 melalui Manuel Hidalgo.

Susulan kemenangan itu, Sabah berjaya merampas kedudukan teratas Liga Super daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mengumpul 18 mata selepas lapan perlawanan, kelebihan dua mata berbanding juara lapan kali berturut-turut liga tersebut yang mengutip 16 mata selepas enam perlawanan setakat ini.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang, Christophe Gamel berkata, walaupun pemainnya berjaya bangkit untuk mendominasi perlawanan pada separuh masa kedua, mereka kurang bernasib baik untuk menjaringkan gol sekali gus memberi kemenangan kepada pasukan lawan.

Sri Pahang mengurangkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti Manuel Hidalgo pada minit ke-60 selepas tonggak pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali menjatuhkan Sean Giannelli dalam kawasan kotak penalti.

Sabah akan menentang Selangor FC pada 28 Jun ini manakala Sri Pahang akan berdepan Negeri Sembilan FC pada 25 Jun.