Atlet Gusti Lengan Sabah Calveen Petrus, Sasar Emas Kejohanan Gusti Lengan Dunia...

Atlet Gusti Lengan Sabah Calveen Petrus, Sasar Emas Kejohanan Gusti Lengan Dunia 2022

0
SHARE
Atlet Gusti Lengan Kelahiran Sabah, Calveen Petrus - Sumber Foto Bernama...

KOTA KINABALU – Atlet gusti lengan, kelahiran Sabah Calveen Petrus, mahu menjadi rakyat Malaysia kedua untuk merangkul pingat emas pada Kejohanan Gusti Lengan Dunia 2022 yang bakal berlangsung di Dieppe, Perancis, September ini.

Atlet kelahiran Sabah itu yang bakal membuat penampilan kedua di kejuaraan dunia berkata, mahu mengikut jejak langkah rakan senegara Joffey Jolly yang memenangi kejohanan berkenaan pada 2019 di Rumia, Poland.

Calveen, 30 berjanji untuk menampilkan aksi terbaiknya di kejohanan berkenaan, sekali gus memberi saingan sengit kepada peserta lain.

“Selepas ini akan balik kampung di Sabah dan rehat dalam dua minggu…

Selepas itu akan mula jalani latihan bersungguh-sungguh di gym berdekatan dengan rumah,” katanya selepas merangkul gelaran Kejohanan Gusti Lengan Asia 2022 pada Sabtu, lapor Bernama.

Beliau muncul juara kategori senior keseluruhan (lengan kiri) dan kategori senior 105 kilogram (kg) pada hari pertama kejohanan.

Calveen berkata, beliau tidak menyangka akan memenangi kejohanan berkenaan memandangkan ini adalah penyertaan kali pertamanya.

“Saya hanya fokus untuk dapat emas bagi acara tangan kanan tetapi tidak jangka untuk dapat piala overall sebab tangan kiri bukan tangan yang kuat untuk saya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms), Mohd Zil Fadli Abd Halim berkata, beliau gembira kejohanan itu berjalan lancar selain mendapat sambutan menggalakkan dari negara lain.

Mohd Zil berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi atlet negara yang menunjukkan peningkatan kualiti walaupun sudah dua tahun tidak bertanding dalam mana-mana pertandingan.