KOTA KINABALU: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas dan sewajarnya terhadap kes maksiat yang tular berlaku di kawasan awam Teluk Likas, susulan kebimbangan terhadap kesan negatif perbuatan tidak bermoral itu kepada masyarakat.
Pengerusi Persatuan Muafakat Anak Bangsa Sabah (PMAB Sabah), Ismail Sabran berkata, perbuatan tidak bermoral di ruang awam tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan kerana ia memberi isyarat yang salah kepada masyarakat serta berpotensi untuk berulang sekiranya tiada ketegasan undang-undang dilaksanakan.
Menurutnya, penguatkuasaan perlu dipertingkatkan secara berterusan khususnya di kawasan rekreasi terbuka yang menjadi tumpuan orang ramai seperti Teluk Likas, yang sering dikunjungi oleh keluarga, kanak-kanak dan masyarakat umum.
“Kawasan ini seharusnya dipantau dengan lebih rapi bagi memastikan keselamatan, keharmonian serta kesucian ruang awam terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kes maksiat di tempat awam bukan isu remeh kerana ia bukan sahaja melanggar norma dan nilai masyarakat, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap undang-undang serta sensitiviti orang ramai.
Ismail turut menyuarakan kebimbangan sekiranya perkara sedemikian dinormalisasikan, ia berpotensi mempengaruhi anak-anak muda ke arah tingkah laku tidak sihat serta mencemarkan maruah keluarga dan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerjasama masyarakat diperkukuhkan dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang perlakuan mencurigakan kepada pihak berkuasa.
“Tanggungjawab menjaga keharmonian dan maruah ruang awam bukan hanya terletak di bahu penguat kuasa, tetapi merupakan tanggungjawab bersama,” ujarnya.
Tambah beliau, amaran keras dan tindakan berkesan amat diperlukan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang serta tidak menjadi budaya yang bercanggah dengan nilai moral dan adat masyarakat di negeri Sabah.






