KOTA KINABALU, SABAH – Kestabilan pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengekalkannya sebagai Kerajaan yang tepat bagi memerintah Sabah.
Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yakin bahawa kemelut politik di Semenanjung sejak kebelakangan ini tidak akan “tertumpah” ke Sabah.
Beliau dalam satu sidang media petang tadi menjelaskan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri merupakan penyelesaian masalah tersebut dan tirai penutup.
“Dengan itu negara boleh kembali menumpukan perhatian kepada isu terpenting iaitu pandemik COVID-19 yang mengakibatkan kebajikan rakyat dan ekonomi terjejas…
“Ini fokus kerajaan pusat baharu dan saya berharap tumpuan barisan kabinet yang bakal dilantik juga sejajar dengan sebelum ini yang memelihara hubungan baik antara negeri dan persekutuan termasuk hak-hak Sabah yang termaktub di perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata parti STAR Sabah memberi sokongan penuh kepada pelantikan Perdana Menteri baharu itu.
“Saya beharap selepas ini tiada lagi kemelut politik akan berlaku sehinggalah Parlimen dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat,” tambah beliau.

Jeffrey juga berpendapat bahawa seorang dari Sabah atau Sarawak layak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).
“Kenapa tidak? Sarawak yang banyak menyumbang dari segi membantu mengunci jawatan (Ismail Sabri) sebagai Perdana Menteri dan saya berharap ini akan diambil masuk pertimbangan…
“Kemelut politik di tahap persekutuan biasanya akan melarat ke negeri-negeri dan itulah sebabnya kami telah menyarankan seorang TPM bagi memastikan hal ini tidak berlaku,” katanya lagi.
Jelasnya, pemimpin-pemimpin GRS sentiasa berbincang bagi memastikan keutuhan politik dan semua mereka yakin apa yang disaksikan di Semenanjung tidak bakal berlaku di negeri Sabah.

“UMNO Sabah juga tidak akan mengubah pendirian mereka terhadap GRS. Dari banyak perbincangan yang kami adakan, Datuk Seri Bung Moktar (Ketua UMNO Sabah) memberi jaminan penuh untuk mengekalkan kerajaan negeri ini,” kata Jeffrey.