Ketua Menteri Panggil Mesyuarat Kecemasan Isu Gangguan Bekalan Elektrik

Ketua Menteri Panggil Mesyuarat Kecemasan Isu Gangguan Bekalan Elektrik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor hari ini memanggil satu mesyuarat kecemasan di Sri Gaya berhubung gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang menjejaskan kawasan Pantai Timur Sabah semalam (13 September).

Ketua Pegawai Operasi Sabah Electricity, Ir. Mohd Yusmanizam Mohd Yusof yang juga bertindak sebagai Komander Krisis pemulihan bekalan, dalam taklimatnya memaklumkan bahawa gangguan tersebut berpunca daripada kejadian tanah runtuh yang menyebabkan tumbangnya menara talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud di Kampung Sarapung, Penampang.

Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri/ Pengarah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong serta Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Datuk Yahya Sulaiman.

Menurut Yusmanizam, pasukan krisis Sabah Electricity kini berada di lokasi untuk melaksanakan kerja-kerja penyambungan semula talian Kolopis–Segaliud. Beliau memaklumkan, sekiranya keadaan cuaca mengizinkan, usaha pemulihan bekalan elektrik itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua hari.

“Saya memahami kerja pemulihan ini amat berisiko. Walaupun kita berharap ia dapat disiapkan segera, saya juga mengingatkan supaya pasukan di lapangan mengutamakan keselamatan,” kata Hajiji.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Sabah Electricity agar sentiasa memaklumkan perkembangan terkini kepada rakyat serta terus memantau keadaan di lapangan memandangkan keadaan cuaca ketika ini masih tidak menentu.