KOTA KINABALU: Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh yang melanda Penampang akibat cuaca buruk sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan sebuah tiang menara milik Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) tergelincir daripada kedudukan asalnya.
Menara tersebut yang terletak di Kampung Sarapung runtuh pada Sabtu, sekali gus menjejaskan talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud sekitar jam 5.05 petang.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj. Jaafar berkata insiden itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik ke beberapa daerah di Pantai Timur Sabah termasuk Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Beluran, melibatkan hampir 230,000 pengguna.
“Pasukan teknikal Sabah Electricity segera mengesan punca gangguan dengan meredah hutan dan kawasan bukit bukau selama hampir tujuh jam sehingga lewat malam. Punca gangguan akhirnya ditemui sekitar jam 1.03 pagi,” katanya dalam sidang media selepas meninjau kawasan terjejas melalui udara.
Menurut beliau, menara yang tumbang itu merupakan sebahagian daripada grid 275kV yang menyalurkan bekalan elektrik sebanyak 200MW ke Pantai Timur Sabah, menjadikannya komponen kritikal dalam sistem tenaga negeri.
Bagi memastikan pemulihan segera, pihaknya melaksanakan kerja-kerja pintasan (conductor bridging) talian penghantaran melalui talian Kimanis ke Segaliud selain mendirikan menara kecemasan bagi menggantikan struktur yang rosak.
“Usaha pemulihan dijangka mengambil masa antara dua hingga lapan hari untuk disiapkan sepenuhnya,” katanya.






