KETUA MENTERI UMUM SUMBANGAN RM150,000 KEPADA TIGA MAJLIS PELAJAR IPT

KETUA MENTERI UMUM SUMBANGAN RM150,000 KEPADA TIGA MAJLIS PELAJAR IPT

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Tiga majlis pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mendapat kejutan yang menggembirakan apabila Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengumumkan sumbangan RM50,000 setiap satu untuk membantu mereka dalam aktiviti masa depan.

Hajiji membuat pengumuman itu pada penghujung pertemuan dengan pemimpin majlis pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kota Kinabalu dan pelajar Universiti Malaya Sabah (Permasa) di Menara Kinabalu, di sini, kelmarin.

Sambil melahirkan rasa gembira dapat duduk, berinteraksi dan bertukar pandangan dengan wakil pelajar IPT dari Sabah, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya komited untuk mendengar idea dan pendapat golongan belia seperti wakil pelajar.

Ketua Menteri turut menjawab beberapa isu yang dibangkitkan oleh presiden majlis pelajar masing-masing seperti masalah bekalan air, cadangan program Rumah Siswa SMJ bagi membantu pelajar yang menghadapi masalah penginapan, isu keselamatan serta tambang penerbangan yang tinggi.

Beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti semua isu untuk manfaat pelajar…

Beliau berkata, golongan belia khususnya di IPT merupakan modal insan yang berharga untuk negeri ini maju selain membantu merealisasikan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Saya berharap kepimpinan pelajar universiti Sabah akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan kejayaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Justeru, Kerajaan Negeri sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu pelajar mendapat yang terbaik daripada pendidikan melalui pelbagai inisiatif dan program seperti bantuan tunai sekali sahaja untuk pendaftaran IPT di mana pelajar yang layak mengikuti pengajian ijazah akan mendapat RM2,000 dan RM1,500 untuk mereka yang mengambil diploma.

Mengetuai wakil pelajar UMS ialah Eliezer Nevall Anthony, manakala UiTM diwakili oleh Shahirul Azri Aman Shah dan Permasa oleh Mohd. Amirul Adanan.

Mesyuarat itu dikoordinasikan oleh Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (Ikrar) Jabatan Ketua Menteri.

Terdahulu, Ketua Menteri turut mengadakan pertemuan dengan sayap pelajar atau Friends of Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Bayu Saputra Rizal.