
KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, membayangkan kemungkinan Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 diadakan seawal tahun depan.
Memetik sumber Berita Harian, katanya, walaupun tempoh kerajaan negeri sekarang masih berbaki kira-kira dua tahun lagi, beliau tidak menolak kemungkinan PRN diawalkan.
“Tempoh kerajaan sekarang akan berakhir pada Oktober 2025 tetapi ia boleh diawalkan. Jadi, kita kena bersedia awal untuk menghadapi PRN,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar Persidangan Agung Tahunan (PAT) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), di sini, semalam.
Ditanya sama ada PRN boleh diadakan pada tahun depan, Hajiji berkata perkara itu boleh ‘dimimpikan’, namun beliau tidak menolak sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.
Terdahulu, dalam ucapan dasarnya selaku Presiden Gagasan Rakyat, beliau mengingatkan cawangan dan bahagian parti itu supaya memperkemas jentera masing-masing bagi menghadapi kemungkinan PRN lebih awal.
Katanya, kepemimpinan parti tidak boleh lalai, selain perlu mengelak sebarang perselisihan dalam perjuangan untuk rakyat dan negeri.
“Kita perlu mengambil iktibar daripada peristiwa hitam yang berlaku pada awal tahun ini di mana kerajaan yang kita bentuk secara sah atas kuasa dan keputusan rakyat diganggu gugat, bahkan hendak diruntuhkan dengan cara yamg amat tidak bijaksana,” katanya.
Beliau merujuk cubaan menjatuhkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilakukan UMNO Sabah dan Parti Warisan (WARISAN) melalui gerakan yang dinamakan Langkah Kinabalu atas alsan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Hajiji pada Januari lalu.
Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Hajiji berkata akibat cubaan menjatuhkan kerajaan, urusan pentadbiran negeri terganggu, menjadikannya titik hitam dalam sejarah politik Sabah.
“Bayangkan gentingnya suasana ketika itu dan hari-hari berikutnya, kerajaan negeri nyaris-nyaris lumpuh serta hilang kelayakan meneruskan pentadbiran.
“Rakyat menjadi cemas, mereka bimbang kalau akan berlaku PRN, satu situasi yang tidak sepatutnya terjadi kerana boleh mewujudkan tanggapan ketidakstabilan politik,” katanya.
Katanya, GRS menghargai sokongan Pakatan Harapan (PH) Sabah dan beberapa wakil rakyat UMNO yang menyatakan sokongan kepada gabungan itu untuk terus memerintah atas kerjasama GRS-PH Plus, sekali gua menyelesaikan kemelut politik yang berlaku itu.
Hajiji juga menyifatkan tindakan cuba menumbangkan kerajaan demokratik pilihan rakyat dengan sewenang-wenangnya adalah satu tindakan terdesak yang sangat memalukan dan tidak beretika.
Perhimpunan Agung Tahunan yang pertama Gagasan Rakyat selepas diambil alih oleh kepemimpinan Hajiji pada Februari lalu itu turut dihadiri empat bekas Ketua Menteri Sabah iaitu Tan Sri Musa Aman, Tan Sri Osu Sukam, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yong Teck Lee.
Hajiji menyifatkan kehadiran mereka sebagai satu sokongan moral kepada kerajaan pimpinannya demi masa depan dan kemajuan Sabah.





