KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud, di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Selasa.
Kunjungan itu merupakan lawatan rasmi pertama Mustapha selepas dilantik ke jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) pada 16 Disember 2025. Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Dalam pertemuan berkenaan, Hajiji menyambut baik kunjungan tersebut dan menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh demi kepentingan rakyat.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik Persekutuan–Negeri, khususnya dalam perkara melibatkan pembangunan Sabah dan Sarawak selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Puan Grace Lee Li Mei.






