KUALA LUMPUR: Konsert solo sulung penyanyi popular, Nourul, berjudul For You Nourul yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 17 April 2026 kini ditunda ke 30 Mei 2026.
Menurut kenyataan penganjur, ND Entertainment, penjadualan semula dibuat bagi memastikan kualiti penganjuran berada pada tahap terbaik selain memberi laluan kepada dua perayaan penting umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
“Pihak penganjur dan Nourul telah berbincang dan bersetuju untuk menjadualkan semula tarikh For You Nourul kepada 30 Mei 2026. Pertimbangan ini dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk menghormati dan memberi laluan kepada Aidilfitri serta Aidiladha.
“Kami juga percaya pemilihan tarikh baharu ini memberi ruang kepada peminat menyusun semula bajet selepas musim perayaan. Kami mahu konsert ini menjadi hari keraian khas untuk Nourul dan peminat dalam suasana lebih selesa dan meriah,” menurut wakil ND Entertainment.
Sementara itu, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab, 49 berkata, perubahan tarikh turut memberi kelebihan dari sudut perancangan produksi serta penyusunan barisan artis jemputan.
“Antara sebab tarikh ditukar adalah melalui proses perbincangan bagi mencapai kata sepakat untuk penyusunan semula jadual perjalanan konsert susulan penukaran penganjur lama kepada syarikat saya sendiri,” jelasnya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Kerana Terluka itu optimis konsert berkenaan akan mendapat sambutan hangat dan menjadi momen istimewa selepas lebih tiga dekad bergiat aktif dalam industri muzik tanah air.
Konsert For You Nourul dijadual berlangsung pada 30 Mei 2026, jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket masih boleh dibeli mengikut kategori harga berikut; RM198 – Sehati Sejiwa; RM298 – Cinta Azali; RM328 – Keliru; RM388 – Kerana Terluka; RM6,000 – VIP Box
Kesemua kategori tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi Ticket2U.
Dengan tarikh baharu yang diumumkan, peminat dijangka bakal disajikan malam penuh emosi, nostalgia dan cinta khas buat mereka yang setia menyokong perjalanan seni Nourul.






