TUARAN: Krisis bekalan beras di sekitar Tamparuli yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sebelum ini kini berjaya ditangani apabila penghantaran stok mula dilakukan dan bekalan beransur stabil.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, hasil tinjauan beliau pada 25 Mac lalu mendapati beberapa premis utama di kawasan itu mengalami kehabisan stok beras, termasuk beras biasa dan beras wangi.
Menurut beliau, keadaan paling ketara dilihat di premis seperti 99 Speedmart dan Bataras yang dilaporkan kosong sepenuhnya, manakala Gmart hanya mempunyai baki beras wangi.
“Keadaan memang kosong, tiada bekalan beras langsung di sesetengah premis dan ada yang telah kehabisan stok hampir dua minggu sebelum Hari Raya lagi,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan memandangkan beras merupakan keperluan asas rakyat dan tidak seharusnya terjejas.
Susulan itu, beliau telah menghubungi Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Menurut Madius, kementerian memaklumkan bahawa stok beras sebenarnya mencukupi, namun berlaku gangguan sementara dalam proses pengedaran disebabkan kekurangan tenaga kerja apabila sebahagian staf penghantaran bercuti sempena musim perayaan.
Bagaimanapun, perkembangan pada 26 Mac menunjukkan keadaan semakin pulih apabila bekalan beras mula dihantar semula ke kawasan Tuaran.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas bantuan dan usaha menghantar stok beras di kawasan Tuaran. Kerjasama dan keprihatinan ini amat dihargai demi memastikan bekalan makanan sampai kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menegaskan akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa serta berhubung dengan pihak berkaitan bagi memastikan bekalan beras kembali stabil sepenuhnya di kawasan berkenaan.






