KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan untuk penjawat awam dibolehkan bekerja dari rumah secara berperingkat dan terpilih akibat keadaan ekonomi global yang semakin meruncing ketika ini susulan perang Iran- Amerika Syarikat dan Israel.
Anwar berkata, pelbagai langkah kini sedang difikirkan oleh kerajaan termasuk keputusan menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti bekerja dari rumah.
“Penjawat-penjawat awam akan boleh secara berperingkat dan terpilih bekerja dari rumah dan saya percaya insya-Allah, selain daripada sektor awam kita juga menggesa sektor swasta untuk
melaksanakan sepertimana yang dilaksanakan oleh beberapa syarikat dan bank selama ini,” katanya menerusi Perutusan Khasnya semalam.
Tambah beliau, bagi pihak kerajaan, pihaknya akan terus menhaga disiplin, mengelak keborosan, ketirisan dan menjaga supaya momentum pertumbuhan ekonomi negara terus meningkat.
“Insya-Allah kita akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan, ketirisan dan menjaga supaya momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia ini agak luar biasa, dan terkecuali.
“Kerana setelah melihat kemurungan yang berlaku di dunia, kita
lihat Malaysia ini masih mendapat tarikan, menjadi pusat
tarikan pelaburan yang sangat aktif sepertimana yang
kita umumkan beberapa langkah setelah kemelut dan
peperangan ini masih ramai yang datang.
“Jadi kita doakan, biar kekal negara ini aman biar rakyat
baik sektor awam dan swasta bekerja secara gigih dan
bersungguh-sungguh dan biar kita tingkatkan
keupayaan ekonomi kita dalam tiap ujian, cabaran dari
Allah Subhanahu wa ta’ala dan keadaan yang berlaku di
dunia masih ada kesempatan untuk memperbaiki dan
meningkatkan keupayaan kita,” jelasnya.






