KUSKOP Umum DEWI Hampir RM3 Bilion Perkasa PMKS Milik Wanita

KUSKOP Umum DEWI Hampir RM3 Bilion Perkasa PMKS Milik Wanita

0
SHARE

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong hari ini mengumumkan Inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEWI) berjumlah hampir RM3 bilion sebagai usaha memperkasa ekosistem Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) milik wanita di seluruh negara.

Inisiatif tersebut diumumkan menjelang sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun.

Menurut beliau, DEWI merupakan manifestasi tekad kementerian dalam membantu membangunkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing.

“Kita mengumumkan Inisiatif DEWI berjumlah hampir RM3 bilion untuk memperkasakan ekosistem PMKS milik wanita di seluruh negara.

“Kita mahu memastikan usahawan wanita mendapat manfaat daripada kemudahan pembiayaan dan sokongan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran TikTok Shop Bazar Raya 2026 di Putrajaya pada Khamis.

Sebanyak empat agensi di bawah KUSKOP akan menjadi agensi pelaksana iaitu Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Inisiatif ini menawarkan pembiayaan sehingga RM3 juta dan menyasarkan seramai 300,000 usahawan wanita di seluruh negara.

Steven berkata, sebelum ini pelbagai program pembiayaan kepada usahawan wanita dilaksanakan secara berasingan oleh agensi-agensi terlibat, namun kini ia diselaraskan di bawah satu payung bagi memperkukuh impak dan penyampaian.

“Sebelum ini ia bersifat berasingan. Jadi kita gembleng dan satukan beberapa inisiatif supaya usaha dan sumber dapat difokuskan dengan lebih baik demi manfaat usahawan wanita,” ujarnya.

Usahawan wanita yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk pembiayaan yang ditawarkan dengan hadir atau menghubungi pejabat atau cawangan agensi terdekat, atau melalui emel rasmi kementerian.

DEWI disifatkan sebagai komitmen berterusan KUSKOP dalam melahirkan lebih ramai ‘Iron Lady’ dalam dunia perniagaan, selaras dengan slogan kementerian, Hebatkan Perniagaan Malaysia.