KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpangam Pekerja (KWSP) meletakkan had maksimum pengeluaran wang daripada Akaun Fleksibel secara terus adalah RM250 sahaja sehari.
Bagaimanapun, menurut paparan maklumat di aplikasi KWSP i-Akaun, ahli yang mahu mengeluarkan wang melebihi RM250 perlu melalui proses electronic Know-Your-Customer (e-KYC).
Proses tersebut boleh dilakukan secara atas talian atau menggunakan alternatif lain seperti mengunjungi pejabat KWSP terdekat bagi tujuan pengesahan cap jari.
Proses e-KYC atau proses pengesahan identiti yang dilakukan secara elektronik menggunakan teknologi pengecaman wajah di aplikasi KWSP i-Akaun.
Dalam pada itu, ia turut menjelaskan bahawa pencarum boleh melakukan pindaan wang ke akaun bank sekali sehari dengan kadar minimum RM50.
Sebelum ini, KWSP mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Menerusi Akaun Persaraan, sebanyak 75 peratus daripada jumlah caruman bulanan akan ditolak sebagai simpanan pendapatan semasa persaraan, Akaun Sejahtera (15 peratus) bagi menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan serta Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek.
Simpanan dalam Akaun Fleksibel iaitu 10 peratus daripada caruman setiap bulan itu, boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.
Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.






