LDP Akan Beri Sokongan Penuh Kepada Semua Calon GRS

LDP Akan Beri Sokongan Penuh Kepada Semua Calon GRS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Yong Wui Chung, menggesa agar semua ahli parti tersebut perlu memberikan sokongan penuh kepada setiap calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Jelas Yong, sokongan padu itu penting dalam usaha memastikan kemenangan besar memihak kepada parti tempatan Sabah seperti yang berlaku di Sarawak.

“Dengan adanya usaha ini, kita mampu memiliki kuasa rundingan mengenai hak serta kepentingan negeri ini daripada kerajaan persekutuan…

“Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor terbukti seorang pemimpin yang berkebolehan dalam memimpin kerajaan negeri GRS,” katanya.

Tambah beliau, LDP juga menyokong penuh dasar GRS yang menggalakkan penglibatan belia dalam pembangunan ekonomi menerusi pendidikan, pembangunan modal insan dan eko sistem perniagaan.

Yong juga berharap kerajaan yang lebih stabil dapat dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Jelas beliau, Malaysia telah mengalami ketidakstabilan politik sejak 2018 yang dapat dilihat apabila Perdana Menteri telah bertukar sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun.

“Keadaan ini tidak mesra pelabur kerana mereka hilang keyakinan terhadap kestabilan negara ini.

“Kekurangan pelabur asing akan menjejaskan pembangunan negara kita seterusnya menyebabkan Malaysia tidak berdaya saing,” katanya.