KINABATANGAN: Lima rumah tidak kekal di Kampung Pengkalan, Jalan Bukit Garam, di sini musnah dalam kebakaran pagi Jumaat.
Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihak mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kes pada 10.11 pagi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan bersama jentera dikerahkan ke lokasi.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 10.49 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 1.40 tengah hari.
“Kebakaran turut memusnahkan lima kenderaan iaitu sebuah Proton Wira, Proton Saga, Toyota SR, motosikal Yamaha LC serta sebuah Perodua Viva yang terbakar 30 peratus.
“Seramai lima anggota bomba yang sedang bercuti turut hadir menggunakan kenderaan sendiri untuk membantu operasi,” menurut jurucakap agensi tersebut.