Logo Baharu Ging Bubut SABAHfm dan SABAHVfm Dilancar

Logo Baharu Ging Bubut SABAHfm dan SABAHVfm Dilancar

0
SHARE
Ging bubut
Salmah (tengah) menyempurnakan pelepasan Jelajah Ging Bubut SABAHfm dan SABAHVfm ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Penyiaran (RTM) Sabah semalam melancarkan logo baharu Ging Bubut SABAHfm dan SABAHVfm.

Ketua Penolong Pengarah Rancangan Radio Jabatan Penyiaran Sabah, Aritika Matbee berkata, program Ging Bubut tersebut bertujuan menyegarkan kembali jenama Ging Bubut untuk mendekati para pendengar RTM SABAHfm dan SABAHVfm secara bersemuka di lokasi.

“Ging Bubut ini merupakan satu program radio RTM di lokasi untuk mendekati para pendengar dan juga bagi menghargai sokongan para pendengar yang selama ini berterusan mendengar siaran radio RTM SABAHfm dan SABAHVfm.

“Selain itu, Ging Bubut akan menjelajah 48 lokasi di seluruh Sabah sepanjang tahun ini, kita berharap pendengar di lokasi-lokasi yang terpilih dapat turut serta dengan kami kerana pelbagai aktiviti menarik yang disediakan untuk para pendengar kita,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Logo dan Flag Off Ging Bubut SABAHfm & SABAHVfm.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah, Salmah Hashim sekali gus menyempurnakan flag off di Perkarangan Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi pada Khamis.

Jelajah Ging Bubut mula diperkenalkan pada tahun 2010 dan ia merupakan pendekatan mudah, cepat tetapi berkesan mendekati para pendengar siaran Radio RTM SABAHfm dan SABAHVfm secara bersemuka di lokasi, di samping para penyampai radio turut berpeluang bertemu pendengar dan membuat rakaman untuk dijadikan bahan siaran radio.

Hadir sama, Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong, Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, Cyril Simon dan Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Koko Malaysia, Felicity Lawrence Ening. — JABATAN PENERANGAN SABAH