Wujudkan Insiaitif Tiket Penerbangan Rahmah, Elak Industri Pelancongan Terjejas – Masiung

Wujudkan Insiaitif Tiket Penerbangan Rahmah, Elak Industri Pelancongan Terjejas – Masiung

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Madani wajar memperkenalkan inisiatif ‘tiket Rahmah’ berikutan kenaikan mendadak tiket penerbangan peringkat awal bagi laluan domestik Sabah – Sarawak – Labuan – Semananjung.

Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah kerana menurutnya isu itu boleh menjejaskan integrasi nasional dalam industri pelancongan tempatan.

Katanya, susulan kontroversi yang menekan rakyat, kenaikan harga tiket sudah tentu membebankan pelancong domestik yang melancong antara tiga wilayah Borneo dan Semenanjung.

“Kenaikan tambang pada tahap ini bukan sahaja merenggangkan hubungan integrasi nasional malah mendorong rakyat tempatan memilih tambang murah ke negara jiran sebagai destinasi pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masiung berkata, minggu lalu sahaja harga tiket penerbangan sehala antara Sabah dan Semananjung kadangkala mencecah sehingga RM1,700 berbanding Manila, Jakarta dan Singapura yang hanya berharga antara RM550 dan RM700.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berkata, kenaikan mendadak penerbangan domestik akan menjejaskan industri pelancongan tempatan kerana orang ramai lebih tertumpu kepada perbelanjaan dengan tambang murah untuk bercuti ke luar negara.

“Sudah tentu lebih banyak wang rakyat mengalir ke luar negara sekaligus merugikan industri pelancongan domestik.

“Syarikat penerbangan tempatan mempunyai seribu alasan untuk mengaut keuntungan, kerana mereka tahu tidak ada jalan lain untuk melakukan perjalanan antara Semenanjung dan wilayah Borneo kecuali dengan kapal terbang.

“Satu-satunya cara terbaik adalah kerajaan perlu mewujudkan satu inisiatif untuk memperkenalkan ‘tiket Rahmah’ dengan harga lantai serendah mungkin untuk rakyat marhaen,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak turut membangkitkan isu itu di Dewan Negara minggu ini selain mempertikaikan gangguan penerbangan tertangguh antara 2 hingga 4 jam.

Mereka mahu Menteri Pengangkutan Anthony Loke menangani isu itu selain menambah kekerapan jadual penerbangan ke wilayah Borneo.

Antara Ahli Parlimen Sabah-Sarawak yang membangkitkan isu kenaikan mendadak tambang penerbangan domestik di Dewan Negara minggu ini ialah Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo), Sophia Brodie (GPS-Sri Aman) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Umno-Kinabatangan).