PENAMPANG, SABAH – Info On Wheels (IOW) Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dilaksanakan serentak di seluruh negeri, semalam.
Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Supian Musa berkata, sebanyak 25 kenderaan digerakkan di 25 daerah bagi menguar-uarkan informasi PADU kepada orang ramai sehingga Mac ini.
“Tujuan program ini diadakan adalah untuk mengemaskinikan maklumat profil individu di dalam sistem secara bersemuka terutama kepada golongan tua yang tinggal di kampung di mana kemudahan akses internet kurang dicapai.
“Maklumat peribadi yang terdapat dalam PADU adalah rahsia dan disimpan oleh Kementerian Ekonomi.
“Oleh itu, orang ramai tidak perlu ragu-ragu dan jangan bertangguh kerana maklumat ini amat penting dalam usaha kerajaan untuk menyalurkan subsidi bersasar kepada masyarakat secara lebih komprehensif,” ujar beliau.
Mengulas lanjut beliau berkata, JaPen Sabah turut membantu kelancaran inisiatif kerajaan itu dengan menyediakan perkhidmatan komputer dan talian internet di 25 Pusat Maklumat Rakyat (PMR) di seluruh daerah di samping mengedarkan risalah berkaitan PADU kepada orang ramai.
“Melalui program ini juga, kita juga menyediakan perkhidmatan komputer melalui Pusat Maklumat Rakyat bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat tambahan berkenaan inisiatif terkini kerajaan Madani.
“Bagaimanapun, masyarakat yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan PADU dan yang kurang arif tentang penggunaan PADU boleh berkunjung terus kaunter yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan.
“Selain itu, dalam risalah yang diedarkan terdapat juga soalan lazim sebanyak 38 soalan dan sekiranya masih ada lagi individu yang tertanya-tanya dan ragu tentang PADU ini, mereka boleh merujuk Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya semasa mengetuai Program Info On Wheels (IOW) Khas PADU yang diadakan di Tamu Donggongon.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat di sekitar daerah Ranau dan Kundasang untuk hadir ke program seumpama pada Sabtu dan Ahad ini.
“Kita menyeru kepada penduduk yang berdekatan untuk mengambil peluang ini untuk mengenali lebih lanjut berkenaan PADU dan hanya dengan membawa kad pengenalan maka maklumat peribadi anda akan dikemaskinikan,” jelas beliau.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang, Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton dan Timbalan Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sabah, Surhardi Omar. — JABATAN PENERANGAN SABAH