Logo Kasut Mirip Kalimah Allah, MCMC Beri Amaran Jangan Sebar Kandungan Bersifat...

Logo Kasut Mirip Kalimah Allah, MCMC Beri Amaran Jangan Sebar Kandungan Bersifat Provokatif

0
SHARE
Logo kasut tular yang didakwa mirip kalimah Allah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan kandungan bersifat provokatif susulan isu tular logo kasut mirip kalimah Allah.

MCMC dalam kenyataan hari ini turut menggesa, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat di media sosial melibatkan logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah untuk melaporkan kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“MCMC tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap isu tersebut. 

“Mana-mana individu yang membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum akan diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, semua pihak perlu memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan itu.

Orang ramai diingatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R (race, royalty, religion) sebaliknya laporkan kepada MCMC dan PDRM untuk diambil tindakan.