
KOTA KINABALU, SABAH – Daerah Membakut menjadi destinasi keenam di negara ini bagi penganjuran Karnival Kita MADANI anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.
Ia diadakan selepas penganjuran di Melaka, Kelantan, Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan serta penganjuran bersama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pengarahnya, Jainisah Mohd Noor berkata Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Sabah akan berlangsung di Dewan Terbuka Membakut selama tiga hari mulai 8 Ogos depan.
“Karnival ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan bagi melakukan program turun padang dan sesi libat urus bersama masyarakat setempat dalam suasana yang santai.
“Platform sebegini memberi ruang kepada pihak JaPen Sabah bagi menjelaskan konsep Malaysia Madani lebih difahami dan menerangkan kepada masyarakat berkenaan inisiatif-inisiatif yang diberikan oleh kerajaan,” ujarnya.
Menurut Jainisah, majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Agama dan Pendidikan Negeri Sabah pada 10 Ogos 2024.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ariffin di Wisma Bandaraya, hari ini.
Turut serta dalam kunjungan berkenaan ialah Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki; Timbalan Pengarah JaPen Sabah, Supian Musa dan Ketua Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Peter Tong Ah Pin.
Dalam perkembangan berkaitan, Jainisah turut memaklumkan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di Sabah akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah serentak dengan Pelancaran Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 Peringkat Negeri Sabah di Perkarangan Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu pada 1 Ogos ini.
“Selama 20 hari konvoi KMJG akan menjelajah ke seluruh Sabah bagi mengajak masyarakat setempat agar menyemarakkan lagi bulan kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara.
“Lebih 50 check point akan dilalui dan pelbagai aktiviti akan diadakan serta beberapa agensi kerajaan turut membuka booth bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat kerajaan,” tambahnya.
Konvoi KMJG mula dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan pada tahun 2002 dengan misi menggelorakan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi kempen kibar Jalur Gemilang. — JABATAN PENERANGAN SABAH





