KUALA LUMPUR – Parti komponen gabungan Barisan Nasional (BN), Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India Malaysia (MIC) akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Memetik laporan The Star, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata parti tersebut berdiri bersama 30 lagi Ahli Parlimen BN dalam perjuangan itu.
“MCA telah menggalas tanggungjawab kepada rakyat semasa menyertai kerajaan Perikatan Nasional…
“Ianya tidak bertanggungjawab jika kami meletak jawatan semata-mata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menarik balik sokongan mereka,” katanya.
Menurut portal berita itu, kedua parti komponen tersebut akan terus menghormati persetujuan di antara komponen Barisan Nasional sehinggalah Pilihan Raya Umum (PRU) yang seterusnya.
“Selagi persetujuan di antara BN itu belum berubah kami akan terus bersepakat…
“Kami bersama rakan sepejuangan BN akan mengutamakan rakyat dan memastikan isu pandemik COVID-19 akan diselesaikan dengan sebaik mungkin.
“Dan selepas itu rakyat yang akan menentukan pada PRU kelak,” katanya.
Naib Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan juga bersependapat.
“MIC diundi atas tiket BN bukan Ahli Parlimen UMNO, MCA mahupun MIC sendiri…
“Apa-apa usul berhubung pendirian parti seharusnya dibuat pada peringkat BN dan sehingga itu kami akan bersama Perikatan Nasional seperti yang dipersetujui,” katanya.