TAWAU: Seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh telah ditahan polis kerana didapati memiliki dadah jenis syabu bernilai lebih RM500 di Merotai.
Lelaki tersebut turut dipercayai terlibat dengan kegiatan mengedar dadah berjaya diberkas menerusi Op Tapis yang dilaksanakan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, ketika Op Tapis dijalankan, kelihatan seorang lelaki mencurigakan di kawasan Merotai, Tawau.
“Ketika pemeriksaan dibuat, lelaki tersebut cuba untuk melarikan diri namun dapat ditangkap oleh anggota yang bertugas.
“Siasatan awal mendapati lelaki tersebut berumur 25 tahun dan bekerja sebagai buruh.
“Suspek turut menyerahkan satu paket plastik lutsinar yang berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu kepada pihak polis dengan anggaran berat 5.54gram bernilai Rm550.00” ujarnya lagi.
Suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
Saringan awal ujian air kencing mendapati suspek adalah positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
Kes akan disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.