PUTRAJAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju sempadan negara akan dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac tanpa kuarantin wajib
Menurut laporan Kosmo, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat selepas MPN bersetuju untuk membuka sempadan negara.
Bagaimanapun, beliau berkata semua individu perlu melakukan ujian COVID-19 sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan negara…
“Ini adalah syor Kementerian Kesihatan (KKM) dan perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.
“Ini melibatkan semua negara kerana Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan tadi, sekiranya nak pilih (negara), Omicron ini sudah ada di seluruh dunia.
“Bagaimanapun, ada perkara yang akan diumumkan nanti seperti peraturan, saringan Covid-19, tak perlu kuarantin dan sebagainya,” katanya dalam satu sidan media hari ini
Muhyiddin juga berkata, sistem kesihatan awam masih mampu menguruskan kes COVID-19 berikutan banyak pengalaman sudah dilalui sebelum ini.
“Walaupun kes sekarang meningkat, namun kapasiti yang ada dapat menampung jumlah pesakit. Ini bermakna proses pemulihan ekonomi akan dapat dipercepatkan, manakala pelabur dan pelawat asing boleh masuk ke negara ini.
“Industri pelancongan akan pulih semula dan boleh ‘terbang’ semula tetapi dalam masa sama, kita perlu pastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” ujarnya.
Tambah beliau, MPN turut mencadangkan supaya pelarasan bagi semua bantuan kewangan oleh pelbagai pihak dapat dilaksanakan secara sistematik bagi meningkatkan penggunaan sumber lebih optimum, bersasar dan berlandaskan keperluan.
Katanya, ia bagi mengelakkan daripada pertindihan berlaku sekali gus lebih ramai pengusaha yang terjejas dapat terus menerima bantuan.