MUIS Tuntut Permohonan Maaf Pendakwa Salahguna Tabung Zakat

MUIS Tuntut Permohonan Maaf Pendakwa Salahguna Tabung Zakat

0
SHARE
Yahya
Yang di Pertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah membuat satu laporan polis pada Khamis lalu terhadap tuduhan-tuduhan yang tular kononnya terdapat salahguna kuasa di dalam pentadbirannya.

Tuduhan berkait isu pembayaran bonus kepada kakitangan MUIS menggunakan sumber Tabung Zakat tanpa proses kelulusan dan juga dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS telah mengarahkan pemindahan wang Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) berjumlah RM14 juta tanpa proses kelulusan.

“Laporan polis tersebut dibuat bagi tujuan siasatan kerana tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas pihak MUIS tersebut adalah jelas tidak berasas dan juga merupakan suatu fitnah,” kata Yang Di-Pertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin.

“Untuk rekod, pembahagian wang zakat untuk tahun 2023 menunjukkan jumlah kutipan wang zakat iaitu sebanyak RM141,181,101.74.

“Ia telah dibahagikan kepada golongan-golongan asnaf seramai 91,060 penerima yang terdiri daripada: golongan Fakir (41.1 peratus), Fisabilillah (17.9 peratus), al-Riqab (17.6 peratus), golongan Miskin (11.1 peratus), Amil (9 peratus), Muallaf (2.8 peratus), al-Gharimin (0.3 peratus) dan Ibnu Sabil (0.2 peratus).

“Pihak MUIS sentiasa terbuka terhadap sebarang proses siasatan oleh pihak berkuasa samada daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan imej dan integriti MUIS di dalam urusan pentadbirannya kekal bersih tanpa adanya sebarang unsur salahguna kuasa seperti yang didakwa,” katanya.

Untuk menjaga nama baik pihak MUIS, Yahya berkata Surat Tuntutan Peguam juga telahpun dihantar kepada penyebar tuduhan-tuduhan tersebut semalam (2 April).

Antara lainnya, MUIS menuntut permohonan maaf secara terbuka di dalam tempoh 24 jam.

“Sekiranya gagal dibuat, saman akan difailkan serta merta terhadap penyebar tuduhan-tuduhan tersebut bagi menuntut keadilan,” beliau berkata.