Murid Hilang Secara Misteri Ditemui Terpinga-Pinga di Ladang Sawit Kedah

Murid Hilang Secara Misteri Ditemui Terpinga-Pinga di Ladang Sawit Kedah

0
SHARE

SINTOK, KEDAH –  Seorang murid lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang dari Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok semalam berjaya ditemukan dalam keadaan selamat kira-kira 2.5 kilometer dari kawasan sekolah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, murid tahun lima itu ditemui penduduk di pinggir ladang kelapa sawit sebelum memaklumkannya kepada pihak sekolah.

“Guru Besar bersama pengawal keselamatan kemudian menjemput murid berkenaan pada 7.45 malam dan membawanya semula ke sekolah,” katanya memetik Bernama.

Menurut beliau, murid itu ditemui dalam keadaan terpinga-pinga, berselut dan tidak berkasut namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Murid tersebut diberikan rawatan Islam sebelum dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk siasatan lanjut.

Buat masa ini, murid berkenaan masih belum dapat menjelaskan apa yang berlaku.