KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 21 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) termasuk TUJUH (7) wanita tahanan Imigresen kini menjadi tahanan polis kerana merusuh di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal, Kota Kinabalu kelmarin.
Kejadian pukul 7 pagi itu dimulakan dengan provokasi laungan “Usir” yang berpunca daripada blok E dan F pada PTS terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata pada ketika itu seorang penyelia syif mendapati kesemua tahanan telah keluar dari sel mereka dan berlegar di diluar sambil melaung perkataan “Usir”.
Provokasi ini mengakibatkan tahanan dari blok lain terpengaruh dan bertindak untuk memcecahkan kendadu sel masing-masing.
“Mereka juga bertindak mengetuk dinding blok mereka dengan bekas makanan dan botol minuman air…
“Apabila mendapati keadaan tidak dapat dikawal, Komandan PTS terbabit memberi arahan untuk bantuan dari pihak Polis.
“Pasukan ‘Light Strike Force’ (LSF) tiba di tempat kejadian pada pukul 7.40 pagi dimana penghuni kembali tenang dan memberi kerjasama dengan pihak Polis dengan masuk semula dalam sel masing-masing,” kata Zaidi.
Katanya, elemen dari Bahagian Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontingen Sabah, Cawangan Khas, Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) Briged Sabah dan anggota dari Balai Polis Menggatal telah mengambil alih kawalan Keselamatan Depot Imigresen dengan masa yang singkat.
Turut hadir ke Blok Depot tersebut ialah Timbalan Pengarah Imigresen (Operasi) Negeri Sabah.
Dalam jam lebih kurang 8.15 pagi Zaidi sendiri telah berjumpa dengan wakil tahanan yang juga merupakan Ketua Blok E dan F bagi meredakan keadaan.
“Jumlah blok yang telah dipecahkan dan dirosakkan kendadu adalah sebanyak lapan (8) blok yang terdiri daripada Blok A, B, D, E, F, J, K & N…
“Kesemua tahanan yang terlibat bersetuju untuk memberi kerjasama dan bersurai ke dalam blok mereka masing-masing dengan syarat pihak berkuasa dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
“Antara isu yang diutarakan oleh tahanan berkenaan adalah isu penghantaran balik tahanan ke negara asal yang tertangguh kerana Pandemik COVID-19 dan isu bekalan makanan tahanan,” jelasnya.
Zaidi berkata pada jam 7.50 petang, tahanan-tahanan berumur antara 19 hingga 51 tahun yang dikenalpasti terlibat dan memulakan rusuhan itu ditangkap.
Turut dirampas polis adalah 10 buah kendadu berukuran 40mm.
“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” Zaidi berkata.