KOTA KINABALU, SABAH – Politik berterusan Parti Warisan mencerminkan ketidakmampuan mereka untuk menerima kekalahan dan bergerak ke hadapan secara konstruktif, kata Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau melihat bahawa serangan tanpa henti terhadap kerajaan GRS-PH Plus menunjukkan kekecewaan mereka terhadap percubaan mereka yang gagal untuk merampas kuasa pada 2022.
“Strategi Warisan nampaknya termasuk mereka-reka naratif berhubung pencapaian kerajaan negeri sekarang dan mempersendakan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya yang unggul,” katanya pada Ahad.
Taktik sedemikian, menurutnya, bertujuan menjatuhkan kredibiliti kerajaan dan menyemai perbalahan di kalangan rakyat.
“Tindakan Warisan bukan sahaja memudaratkan kestabilan negeri tetapi juga menunjukkan sikap tidak menghiraukan tadbir urus yang membina,” katanya dalam pertemuan dengan ketua-ketua cawangan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Daerah Mengundi (PDM) Malangang di Kiulu.
Pendirian Warisan juga telah menimbulkan kemarahan kerana apa yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai hipokrit dalam gerakan politik mereka.
“Walaupun sebelum ini mereka mendessk pembubaran UMNO Sabah dan menggds parti tu pulang ke Semenanjung, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kini bekerjasama dengan UMNO.
“Peralihan pendirian ini mencerminkan pendekatan oportunistik Warisan terhadap politik, di mana pakatan dijalin berdasarkan kemudahan dan bukannya prinsip.
“Lebih-lebih lagi, kepimpinan Warisan tidak mendapat sokongan sebulat suara daripada parti pembangkang utama yang lain,” kata Joniston.
Kedua-dua PKR dan DAP telah memberikan sokongan mereka kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah sekarang dan ketua gabungan GRS.
“Mesti ada sebab mengapa mereka (DAP dan PKR) memilih untuk membuang pakatan mereka dengan Warisan dan menyokong Hajiji untuk kekal sebagai Ketua Menteri.
“Ketiadaan konsensus dalam kalangan pembangkang menjejaskan lagi kredibiliti Warisan dan keupayaan mereka untuk menjadi alternatif yang berdaya maju kepada kerajaan sekarang,” tambahnya.
Mengenai langkah PBS dan STAR untuk bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang, Joniston berkata adalah penting untuk memastikan kemenangan meyakinkan untuk GRS.
“Langkah itu berdasarkan maklum balas dan sentimen rakyat yang mahu melihat kedua-dua parti bekerjasama untuk menyatupadukan rakyat khususnya KDM,” katanya.