Sabah Sasar Raih 40 Pingat dalam SUKMA XXII Selangor 2026

Sabah Sasar Raih 40 Pingat dalam SUKMA XXII Selangor 2026

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kontinjen Sabah meletakkan sasaran 40 pingat sebagai penanda aras prestasi pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, selari usaha memperkukuh persiapan atlet secara menyeluruh menjelang temasya berprestij itu.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Industri Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sasaran berkenaan ditetapkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA XXII Selangor 2026 yang dipengerusikannya di Bangunan MUIS, di sini, hari ini.

Beliau berkata, komitmen dan penglibatan kepimpinan tertinggi sukan negeri serta agensi berkaitan amat memberangsangkan dan menjadi faktor penting dalam memastikan persiapan kontinjen Sabah berada pada landasan terbaik.

“Sasaran 40 pingat ditetapkan sebagai ukuran prestasi. Pemilihan atlet pula perlu berasaskan integriti, disiplin, komitmen latihan serta kesiapsiagaan mental dan fizikal, bukan semata-mata keputusan semasa,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Menurut Nizam, mesyuarat berkenaan turut menekankan aspirasi menjadikan Sabah sebagai ‘Sport State’, seiring hasrat memposisikan sukan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan dan menjana hasil melalui industri sukan yang dibangunkan secara berstruktur.

Beliau berkata, penyelarasan bersepadu antara kementerian, agensi pelaksana dan badan sukan negeri penting bagi mengoptimumkan sumber serta memastikan kebajikan dan prestasi atlet diberi keutamaan.

Mesyuarat itu turut dihadiri Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah, Setiausaha Tetap kementerian, Pengurus Besar Lembaga Sukan Negeri Sabah serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah.

Turut serta wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Sabah, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Universiti Malaysia Sabah dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, selain pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.

Nizam berkata, mesyuarat itu menjadi platform penting untuk menyelaras hala tuju, menyatukan pemahaman dan memperkukuh komitmen semua pihak bagi memastikan persiapan Sabah ke SUKMA dan Para SUKMA XXII Selangor 2026 dilaksanakan secara terancang dan berimpak tinggi.