PBS Telah Wujud 37 Tahun Dan Masih Releven

PBS Telah Wujud 37 Tahun Dan Masih Releven

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) telah menunjukkan kemampuannya dalam menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan dalam iklim politik untuk kekal releven.

Walaupun PBS sudah wujud selama 37 tahun, Setiausaha Agungnya Datuk Joniston Bangkuai berkata parti itu telah mengharungi ujian masa tanpa melalui proses penjenamaan semula.

“PBS telah menjadi jenama tersendiri yang boleh kita banggakan. Tidak ada keperluan untuk menukarkan nama itu…

“Sebaliknya, apa yang penting ialah memastikan parti kekal cergas mengikut keadaan semasa dan semua ahli memahami sepenuhnya serta menjiwai perjuangan parti supaya kita boleh menjawab dengan fakta terhadap sebarang kritikan yang dilemparkan terhadap parti,” katanya.

Joniston berkata demikian pada Program Jelajah Penerangan Parti Bersatu Sabah di sini, pada Khamis. Turur hadir adalah Ketua Penerangan PBS, Datuk Julita Majungki.

Dalam ucapan beliau, Joniston berkata PBS berada di landasan yang betul, sambil menggesa agar semua ahli menanam rasa bangga berjuang bersama parti.

Hanya melalui rasa kebanggaan ahli akan mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi untuk mempertahankan parti dan kepimpinan mereka, ujarnya.

“Penting juga untuk kita kekal bertenaga agar menjadi lebih agresif terutama di media sosial. Kita tidak harus bersikap defensif tetapi bersedia membidas tomahan.

“Sebagai ahli, kita juga harus berani bersuara dan memberi teguran membina kepada pucuk pimpinan sekiranya terdapat sebarang kesalahan atau kelemahan.

“Dalam pada itu, kepimpinan parti juga perlu bersikap terbuka menerima kritikan daripada ahli. Inilah reformasi yang diperlukan parti supaya kita semua dapat bekerjasama untuk memartabatkan lagi kekuatan PBS,” kata Joniston.