PAPAR, SABAH – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemimpin Malaysia bukan hanya layak menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) semata-mata malah juga layak dilantik sebagai Perdana Menteri.
Dalam satu sidang media bertempat di FS Cafe hari ini, beliau diminta mengulas mengenai tawaran Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan sebelum ini bakal menawarkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) termasuk untuk pemimpin di Sabah.
Menurutnya, mana-mana pemimpin di Malaysia layak dilantik sebagai Perdana Menteri berikutan ia telah termaktub dalam Perlembagaan.
“Saya ikut Perlembagaan. Perlembagaan tidak mengehadkan Perdana Menteri kepada mana-mana pihak.
“Sesiapa saja dalam Malaysia boleh menjadi Perdana Menteri jadi orang Sabah pun layak jadi Perdana Menteri…
“Masalahnya ialah populariti, sama ada dapat sokongan ataupun tidak untuk ini. Pemimpin dari Sabah tidak harus bergerak cuma di Sabah.
“Kita harap mereka datang ke Semenanjung dan Sarawak supaya mereka lebih dikenali. Dengan itu, ada kemungkinan orang Sabah juga jadi Perdana Menteri. Begitu juga dengan orang Sarawak, bukan hanya orang Semenanjung sahaja,” katanya.
Selain itu, bekas Perdana Menteri itu juga berkata Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang sebelum ini namanya dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri layak dilantik untuk jawatan tersebut.
“Dia boleh bergerak, soalnya sama ada dia dapat sokongan yang cukup ataupun tidak, hak dia untuk jadi Perdana Menteri memang dijamin dalam Perlembagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Mahathir turut memberitahu
Gerakan Tanah Air (GTA) yang diterajui beliau tidak menolak kemungkinan untuk menjalin kerjasama dengan gabungan atau parti politik lain sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi membentuk kerajaan.
Beliau yang merupakan Pengerusi Penaja GTA itu berkata pihaknya hanya tidak sama sekali akan menjalinkan kerjasama dengan gabungan atau parti politik membabitkan UMNO-BN, PAS dan Perikatan Nasional (PN).
“Kita akan kerjasama dgn parti lain tapi kita kena pilihlah, bukan kerjasama dgn UMNO, PAS dan PN kerana mereka terlibat dengan rasuah…
“Kita mahu kerjasama dgn parti lain yg tidak terlibat dengan rasuah dan mempunyai pendirian yang sama dgn GTA.
“Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kalau mereka mahu bekerjasama dengan kita, kita kena kaji selepas PRU15,” katanya.
Mahathir turut tidak ketinggalan mengulas mengenai dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam dilaporkan pernah bertemu dengannya bagi membincangkan tentang rancangan untuk menjatuhkan BN.
Katanya, pihaknya bermatlamat untuk membina kerajaan yang bersih dari parti politik yang dilaporkan mempunyai kes rasuah.
“Kita mahu dirikan kerajaan yang bersih dari mereka. Orang semacam itu jadi kerajaan akan menyalah gunakan kuasa untuk kepentingan diri…
“Sebab itu kita tak setuju sama ada mereka kerjasama atau tidak, mereka tidak layak. Dakwaan itu benarlah bagi dia (Hadi) tapi saya mahu bila dia cakap (berkenaan perkara tersebut).
“Tapi dia ini pemimpin PAS. Pemimpin PAS ini masih tuduh orang yang bukan PAS sebagai kafir tapi PAS bekerjasama dengan orang yang mereka tuduh sebagai kafir.
“Kata PAS siapa yang bekerjasama dengan kafir menjadi kafir, jadi PAS pun kafir jugalah,” katanya.