JAKARTA, INDONESIA – Semua pelancong yang datang ke Indonesia dilarang untuk membuka pelitup muka semasa mengambil gambar, demikian peringatan keras yang diberikan oleh Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Uno.
Portal Coconuts baru-baru ini melaporkan bahawa arahan yang dikeluarkan negara itu berdasarkan situasi pandemik Covid-19 yang belum reda, pihaknya amat mementingkan pematuhan protokol kesihatan terutama bagi pelancong.
“Jangan tanggalkan pelitup muka anda ketika bergambar di mana-mana lokasi pelancongan di Indonesia…
“Meskipun hanya merakam gambar swafoto, sila pakai pelitup muka,” tegas Sandiaga.
Menurut Sandiaga lagi, satu sesi percubaan pembukaan semula ke atas 20 pusat pelancongan di wilayah yang dikategorikan di bawah Tahap 3 dan 2 Penguatkuasaan Pembatasan Kegiatan Awam (PPKM) telah menunjukkan impak positif.
Walaupun begitu, Sandiaga mendedahkan bahawa pelancong masih mengambil ringan terhadap beberapa protokol kesihatan, terutama yang berkaitan dengan gambar swafoto.
“Meskipun anda melawat tempat yang terbuka, pastikan pelitup muka kekal dipakai kerana kita tidak mahu mengambil sebarang risiko,” katanya.