KINABATANGAN: Seorang lelaki yang merupakan pemandu dilaporkan maut, manakala seorang lagi mangsa, iaitu wanita mengalami kecederaan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sendiri ke dalam parit di Kampung Paris 2, Kinabatangan pada petang Ahad.
Dalam kejadian kita-kira jam 1.06 tengah hari itu, mangsa lelaki, 56 tahun, pemandu Toyota Hilux Single Cab disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Suriyadi Darwis berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu telah menggerakkan lima anggota ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 50 kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah Toyota Hilux Single Cab terbabas sendiri dan masuk ke dalam parit. Terdapat dua mangsa di dalam kenderaan dan kedua-duanya berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Penumpang wanita, 53 tahun yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Lahad Datu menggunakan kenderaan keluarganya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Manakala, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya.
Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.15 petang






