
KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Johor menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau berhubung pemberian moratorium kepada peminjam yang terkesan akibat banjir.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pihaknya dengan rendah hati mengucapkan jutaan penghargaan kepada seluruh kementerian dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan atas segala bantuan yang diberikan.
“Syukur Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau kepada mangsa-mangsa banjir di Johor.
“Alhamdulillah, semua ini untuk kemaslahatan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir di Johor. Semoga manfaat ini memberi sejuta sinar kepada seluruh Bangsa Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran yang dimuatnaik dalam laman media sosial Facebook rasminya.
Perdana Menteri dipetik berkata setakat ini, Maybank dan CIMB telah bersetuju untuk memberikan moratorium selama enam bulan disamping menyatakan akan menghubungi bank lain untuk mengikuti langkah berkenaan.
Baru-bary ini, Onn Hafiz memohon kerajaan mempertimbangkan moratorium antara tiga hingga enam bulan diberikan kepada mangsa banjir di negeri berkenaan sekali gus meringankan bebanan mangsa banjir yang mempunyai pinjaman daripada institusi perbankan.





