Pemimpin Pendidikan Perlu Pastikan Pendigitalan Tidak Abaikan Nilai Kemanusiaan – NC UMS

Pemimpin Pendidikan Perlu Pastikan Pendigitalan Tidak Abaikan Nilai Kemanusiaan – NC UMS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemimpin pendidikan di negara ini perlu memastikan agenda pendigitalan tidak mengabaikan nilai kemanusiaan, etika dan kesejahteraan sosial yang menjadi asas pendidikan sejati, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansor.

Berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia (MEDC) 2025, beliau berkata transformasi pendidikan era digital bukan hanya tentang memperkenalkan teknologi baharu, tetapi harus memberi tumpuan kepada pemerkasaan insan dan pembentukan nilai dalam proses pembelajaran.

Menurutnya, kejayaan transformasi pendidikan digital hanya dapat dicapai apabila inovasi teknologi diinstitusikan selaras dengan prinsip inklusiviti agar tiada pelajar yang tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan tersebut.

“Kita perlu memastikan inovasi teknologi selaras dengan prinsip inklusiviti agar tiada pelajar yang ketinggalan, dan kesejahteraan mereka sentiasa dijaga,” katanya.

Kasim turut menegaskan bahawa kerjasama antara UMS, MEDC dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam penganjuran seminar itu mencerminkan visi bersama yang merentasi sempadan institusi demi kemajuan pendidikan negara.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan UMS atas kejayaan menganjurkan seminar berprestij tersebut yang disifatkan sebagai bukti komitmen terhadap kecemerlangan penyelidikan, inovasi pendidikan, penglibatan komuniti dan pembangunan profesionalisme tenaga pengajar.

“Saya menyeru semua peserta untuk memanfaatkan ruang ini bagi berkolaborasi, bertukar idea, berkongsi amalan terbaik serta mencetus inisiatif baharu yang mampu memperkasa sistem pendidikan negara,” katanya.

Seminar berkenaan berlangsung selama dua hari dan menghimpunkan Dekan Pendidikan Universiti Awam Malaysia, para penceramah serta ahli akademik untuk membincangkan tema “Transformasi Pendidikan Era Digital: Inovasi, Inklusiviti dan Kesejahteraan.”