KOTA KINABALU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menuduh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, cuba memecah belahkan akar umbi dengan menghentikan peruntukan tahunan persekutuan untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Ketua Penyelaras Pemuda GRS, Datuk Jonnybone Kurum, yang mempengerusikan mesyuarat khas persiapan hari ini, berkata Zahid selaku Presiden UMNO turut memperkenalkan Jawatankuasa Pembangunan Kampung Persekutuan (JPKK) dengan melantik individu yang cenderung kepada UMNO dan Warisan.
“Pelantikan persekutuan ini hanya memecahbelahkan akar umbi dan menggugat perpaduan di peringkat kampung,” katanya sambil menegaskan kerajaan negeri pimpinan GRS tetap membayar elaun JKKK tanpa bergantung kepada peruntukan persekutuan.
“Inilah bukti kerajaan negeri pimpinan GRS lebih bertanggungjawab dan berdikari,” tambahnya.
Jonnybone turut menekankan kepentingan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang bakal berlangsung, menyifatkannya sebagai “ujian terbesar” buat rakyat Sabah.
“Buat pertama kali, Sabah bebas daripada dominasi parti nasional yang memerintah hampir tiga dekad. Di bawah GRS, kita nikmati autonomi, kestabilan dan pencapaian yang belum pernah diraih sebelum ini,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa ada pihak luar yang cuba menggugat kestabilan politik Sabah dan sekiranya GRS tewas, mungkin mengambil masa 15 hingga 20 tahun lagi untuk semua parti tempatan bersatu di bawah satu payung.
Mesyuarat tersebut turut bersetuju melantik penyelaras Pemuda GRS di setiap kawasan Parlimen serta memuktamadkan persiapan pelancaran jentera Pemuda GRS.
“Kami tidak akan biarkan Sabah kembali ke era gelap. Ini masa kita, ini masa Sabah,” tegas Jonnybone.






