Pencawang Baharu Ranau Tingkat Kestabilan Elektrik, Manfaat Lebih 15,000 Pengguna – Masidi

Pencawang Baharu Ranau Tingkat Kestabilan Elektrik, Manfaat Lebih 15,000 Pengguna – Masidi

0
SHARE

RANAU: Pembinaan Pencawang Pembahagian Utama Ranau 33/11kV bernilai lebih RM30 juta yang kini menghubungkan daerah Ranau secara terus kepada grid elektrik Sabah telah meningkatkan kestabilan bekalan elektrik serta memberi manfaat kepada lebih 15,000 pengguna di kawasan itu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem bekalan elektrik, malah turut menyokong pembangunan ekonomi serta sektor pelancongan di kawasan Ranau dan Kundasang.

“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kestabilan bekalan elektrik, malah turut menyokong pembangunan ekonomi serta sektor pelancongan di kawasan Ranau dan Kundasang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Seikhlas Budi Sesuci Ramadan anjuran Sabah Electricity di Kampung Karanaan, di sini pada Selasa.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, kerajaan negeri amat menghargai komitmen berterusan Sabah Electricity dalam memperkukuh sistem pembekalan elektrik di daerah Ranau bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan utiliti yang lebih stabil dan berkualiti.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha Sabah Electricity melaksanakan tanggungjawab sosial korporat melalui program penyaluran wakalah zakat sempena bulan Ramadan bagi membantu golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

“Saya yakin usaha murni Sabah Electricity memberi semula kepada masyarakat akan dapat membantu mensejahterakan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum serta meringankan beban kewangan golongan sasar,” katanya.

Menurutnya, penglibatan syarikat swasta, individu berkepentingan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program kebajikan amat dialu-alukan oleh kerajaan negeri bagi membantu golongan asnaf, fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal serta mereka yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata inisiatif penyaluran wakalah zakat itu mencerminkan keprihatinan Sabah Electricity terhadap kebajikan masyarakat selain memperkukuh hubungan antara syarikat berkaitan kerajaan dengan komuniti setempat.

“Saya juga berharap penerima sumbangan pada hari ini suatu hari nanti dapat mengubah nasib daripada penerima zakat kepada pemberi zakat,” katanya.

Masidi turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Electricity atas komitmen berterusan dalam melaksanakan program kebajikan serta membantu golongan memerlukan, termasuk masjid dan pusat tahfiz di Kampung Karanaan.

Beliau berharap sumbangan yang diberikan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima dan terus menyemarakkan semangat kebersamaan serta keprihatinan dalam masyarakat.