Penduduk Kampung Sukarela Masak Untuk ‘Frontliners’ COVID-19

Penduduk Kampung Sukarela Masak Untuk ‘Frontliners’ COVID-19

0
SHARE
Sumber Foto: BERNAMA...

SEMPORNA, SABAH – Senario peningkatan jangkitan kes COVID-19 di Sabah, menyaksikan pelbagai pihak, termasuk penduduk kampung dan badan bukan kerajaan saling bantu-membantu untuk meringankan beban barisan petugas hadapan yang sedang berperang mengekang penularan pandemik itu di daerah ini.

Tidak ketinggalan, sekumpulan penduduk di Kampung Inabah Kamal dan Kampung Sabdi di sini yang secara sukarela dan bergotong-royong menyediakan makanan tengah hari untuk petugas barisan hadapan (Frontliners) COVID-19, sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan mereka.

Mahu dikenali sebagai Frontliner Kitchen, inisiatif yang diterajui lebih 20 wanita terutamanya kalangan suri rumah,  mereka memulakan tugas seawal pagi bagi menyediakan masakan antaranya ayam rendang atau kari ayam dilengkapi dengan nasi, sayur, buah serta sebotol air mineral untuk petugas barisan hadapan.

Penyelaras Frontliner Kitchen, Rhena Ismail, berkata idea itu diilhamkan dua suri rumah Salhah Ayub dan Rahmawati Ganding yang terharu dengan kesungguhan petugas ini bekerja sehingga mengabaikan waktu makan demi memastikan rakyat bebas COVID-19.

“Sebab itu inisiatif ini diambil, 450 bungkus makanan diagihkan dalam dua fasa kepada petugas di Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna, Klinik Kesihatan, Pusat Kuarantin Projek Perumahan Rakyat Bubul Ria, sekatan jalan raya termasuk pasukan keselamatan di laut,” katanya kepada Bernama hari ini.

Rhena berkata wanita terlibat dalam aktiviti sukarelawan  ini menjalankan tugas bermula daripada proses membeli bahan mentah, memasak, membungkus serta mengagihkan makanan berkenaan, sejak kira-kira tiga minggu lepas.

“Dana diperoleh daripada sumbangan penduduk kampung dan ada dalam kalangan kumpulan ini (Frontliner Kitchen) wanita-wanita hebat yang merupakan peniaga makanan yang memang biasa dan arif mengenai bab masakan…

“Kebiasaannya pasukan memasak akan bermula seawal 5.30 pagi dan pengagihan makanan itu bermula 11 pagi dan kami memastikan barisan hadapan ini dapat menikmati waktu makan tengah hari on-time (tiba masanya),” katanya.

Menurut Rhena, beliau berharap pengagihan bungkusan makanan itu dapat dilakukan lebih kerap dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan dana.

“Sebenarnya terdapat banyak NGO lain di daerah ini, seperti NGO Yayasan Kasih Tauhid dan Hugs Project yang banyak membantu dalam penyediaan food pack Frontliner sejak mula-mula penularan COVID-19 di Semporna hingga kini,” katanya sambil berharap petugas barisan hadapan di Semporna kekal bersemangat dan cekal menangani COVID-19 sehingga statistik kes menjadi landai.

Setakat, semalam, Sabah merekodkan sebanyak 889 kes COVID-19 baharu, termasuk 19 kes di Semporna.

Sementara itu, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) turut mengambil inisiatif menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada penduduk Kampung Bangau-Bangau, antara lokaliti dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sumbangan itu disampaikan oleh ACP Mohamad Pajeri Ali yang mewakili Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman kepada 100 penduduk.

ACP Mohamad Pajeri Ali…

Mohamed Pajeri berkata, pihak ESSCom mengambil berat soal kesusahan penduduk terutamanya mereka yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Terdapat LIMA (5) lokaliti PKPD di Semporna iaitu Kampung Panji, Kampung Selamat, Kampung Simunul, Kampung Pinggir Bandar selain Kampung Bangau-Bangau.