Penyanyi Misteri Didakwa Dijana AI, Lagu Jadi Viral di Spotify

Penyanyi Misteri Didakwa Dijana AI, Lagu Jadi Viral di Spotify

0
SHARE

DHAKA: Seorang penyanyi bernama Sienna Rose mencuri perhatian selepas meraih hampir tiga juta pendengar bulanan di Spotify dengan lagu berunsur soul dan jazz, namun semakin banyak petunjuk menunjukkan beliau mungkin bukan manusia sebenar, sebaliknya hasil kecerdasan buatan (AI).

Lagu Into the Blue sahaja mencatat lebih lima juta strim, manakala beberapa lagunya tersenarai dalam carta Viral Top 50 Spotify, lapor United News of Bangladesh (UNB) memetik BBC.

Perkhidmatan penstriman Deezer menandakan banyak lagu Rose sebagai kandungan yang dijana AI. Pakar turut mengesan ciri luar biasa seperti bunyi desiran berterusan, corak dram tidak konsisten, lirik terlalu umum serta vokal yang terlalu sempurna, yang sering dikaitkan dengan muzik dijana komputer.

Rose tidak mempunyai kehadiran di media sosial, tidak pernah membuat persembahan secara langsung dan memuat naik sekurang-kurangnya 45 lagu dalam tempoh lebih dua bulan, kadar yang dianggap luar biasa bagi artis manusia. Akaun Instagram yang memaparkan imej bergaya AI juga telah dinyahaktifkan.

Walaupun wujud keraguan, penyanyi pop Selena Gomez pernah menggunakan salah satu lagu Rose dalam hantaran Instagram, menunjukkan sejauh mana muzik tersebut telah tersebar.

Sebahagian pendengar meluahkan rasa teruja, manakala yang lain kecewa apabila mengetahui artis itu mungkin tidak wujud. Deezer melaporkan kira-kira 34 peratus muat naik harian kini adalah muzik dijana AI, meningkat ketara berbanding hanya lima hingga enam peratus kira-kira 18 bulan lalu.

Tokoh industri termasuk penyanyi Raye menegaskan pendengar masih mengutamakan muzik yang tulen dan berjiwa, berbanding lagu yang dihasilkan sepenuhnya oleh algoritma.

Fenomena Sienna Rose mencetuskan persoalan besar terhadap masa depan industri muzik apabila “artis” AI mampu bersaing dengan pemuzik sebenar, memperoleh royalti tanpa melalui kos dan usaha seperti kerjaya muzik tradisional.