Penyelia Kewangan Ditahan, Disyaki Terlibat Kes Gangguan Seksual Terhadap Pelajar Wanita Praktikal 

Penyelia Kewangan Ditahan, Disyaki Terlibat Kes Gangguan Seksual Terhadap Pelajar Wanita Praktikal 

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki yang juga merupakan seorang penyelia kewangan di sebuah syarikat peladangan di Tawau, ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes gangguan seksual terhadap seorang pelajar praktikal wanita di syarikat berkenaan, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian tersebut didakwa telah berlaku di sekitar pejabat syarikat berkenaan, di mana mangsa seorang pelatih yang sedang menjalankan latihan Industri berusia 23 tahun mendakwa telah berulang kali menjadi sasaran gangguan seksual dari suspek.

Katanya, mangsa telah ditanya oleh suspek beberapa soalan dengan menggunakan perkataan lucah kepada mangsa sehingga menyebabkan mangsa tidak berasa selesa.

“Suspek juga merendah-rendahkan mangsa memandangkan mangsa telah dijaga oleh datuk dan neneknya serta suspek membandingkan mangsa dengan pelajar praktikal sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, susulan daripada itu, kira-kira jam 12.10 tengahari, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau telah menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di sekitar bandar Tawau.

Jelasnya, suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan dan siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

“Pihak Polis memandang serius dalam menangani kes gangguan seksual di tempat kerja dan akan memastikan siasatan yang dijalankan dengan telus dan adil,” katanya.