PERPADUAN Desak JPS Timbus Tebing Sungai Kadamaian Dihakis Syarikat Perlombongan

PERPADUAN Desak JPS Timbus Tebing Sungai Kadamaian Dihakis Syarikat Perlombongan

0
SHARE

KOTA BELUD: Presiden Pertubuhan Perpaduan Nasional Sabah (PERPADUAN), Jack Giau, menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah untuk menimbus semula tebing sungai yang telah dikorek atau didalamkan oleh sebuah syarikat perlombongan pasir.

Menurut Jack, berdasarkan pemerhatiannya di beberapa kawasan Sungai Kadamaian, kedalaman tebing sungai kini mencecah 12 kaki, yang boleh mendatangkan risiko tinggi kepada individu yang tidak mahir berenang.

“Saya telah membantah aktiviti perlombongan pasir ini pada 27 Jun 2024 apabila saya menjemput Pembantu Menteri Pertanian Sabah, Datuk Peto Galim, untuk melawat lokasi tersebut.

“Ketika sesi dialog, Datuk Peto mengarahkan supaya aktiviti perlombongan pasir baharu dihentikan kerana konsesi syarikat itu telah tamat atau dibatalkan sejak Disember 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jack turut mendedahkan bahawa jurutera JPS sendiri mengesahkan bahawa pihak mereka tidak menerima sebarang notis kelulusan kerja-kerja pengorekan sungai selepas Disember 2023.

Beliau membuat kenyataan ini susulan insiden tragis melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 berusia 16 tahun lemas ketika berenang di Sungai Kadamaian, berhampiran kawasan Pirasan, petang Ahad lalu.

“PERPADUAN memandang serius insiden ini, terutamanya kerana kejadian berlaku hanya 500 meter dari kediaman saya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan segera bagi menimbus serta membaik pulih tebing sungai yang terjejas dalam lingkungan 1 kilometer dari Kampung Piasau hingga Kampung Rangalau.

“Langkah ini amat penting kerana tebing sungai di kawasan tersebut mengalami hakisan teruk dan boleh mendatangkan bahaya besar kepada penduduk setempat,” tegasnya.