Pesta Kaamatan Dan Gawai Tidak Tersenarai Sebagai Cuti Persekolahan, STAR Tuntut Penjelasan...

Pesta Kaamatan Dan Gawai Tidak Tersenarai Sebagai Cuti Persekolahan, STAR Tuntut Penjelasan KPM

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mahu Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan mengapa Pesta Kaamatan dan Gawai tidak tersenarai sebagai cuti persekolahan dalam jadual 2022.

Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata dalam kalendar akademik terkini yang diterbitkan oleh KPM, cuti penggal pertama dijadualkan bermula pada 4 Jun dan berakhir pada 12 Jun.

“Adakah kementerian lupa bahawa Pesta Kaamatan jatuh pada 30 dan 31 Mei manakala Pesta Gawai disambut pada 1 Jun?

“Bagaimana mungkin mereka yang duduk dalam jawatankuasa untuk membincangkan jadual ini tidak mengambil kira sentimen dan situasi rakyat Sabah dan Sarawak?” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata kementerian telah menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan Sarawak dengan sikap tidak sensitif mereka.

“Terdapat ramai orang Sabah dan Sarawak yang tinggal di Tanah Melayu. Mereka membuat lawatan tahunan pulang ke tanah air mereka untuk meraikan dua perayaan kebudayaan yang penting bersama keluarga mereka…

“Bagaimana mereka boleh melakukannya tahun depan apabila anak-anak mereka masih perlu pergi ke sekolah dan hanya boleh pulang ke rumah beberapa hari selepas perayaan berakhir?” tanya Jeffrey.

Beliau berkata kerajaan Sabah akan menghubungi KPM secepat mungkin untuk membincangkan cara-cara bagi memperbetulkan keadaan.