RANAU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin berkata, pesta Kaamatan dilihat boleh menjadi tunjang perpaduan dan landasan untuk memantapkan keharmonian antara kaum di Malaysia.
Jelas beliau, pesta Kaamatan pada mulanya sinonim dengan kebudayaan suku kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
“Namun, perayaan itu kini turut diraikan oleh semua kaum tanpa memilih agama, budaya dan idologi politik…
“Ia sesuatu yang sangat menarik di Malaysia, khususnya di Sabah kerana semua rakyat boleh duduk semeja berkenal mesra tanpa ada yang membataskan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ranau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan dan Pemimpin Bersama Rakyat, di sini baru-baru ini.
Jonathan berharap perayaan Pesta Kaamatan menjadi asas perpaduan dengan melibatkan semua komuniti di negara ini.
“Perayaan ini adalah pesta titian untuk memperkukuhkan perpaduan, persaudaraan dan hormat menghormati antara semua.
“Ia juga ruang untuk kita menonjolkan budaya dari segi pakaian, tradisional, makanan tradisi dan tarian kebudayaan suku kaum KDMR,” katanya.